𝗨𝗨𝗠 𝗛𝗼𝗹𝗱𝗶𝗻𝗴𝘀 𝗝𝗮𝗹𝗶𝗻 𝗞𝗲𝗿𝗷𝗮𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗦𝘁𝗿𝗮𝘁𝗲𝗴𝗶𝗸 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗞𝗞𝗠, 𝗕𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻 𝗦𝘁𝗮𝗻𝗱𝗮𝗿𝗱 𝗞𝗼𝗺𝗽𝗲𝘁𝗲𝗻𝘀𝗶 𝗞𝗲𝗷𝘂𝗿𝘂𝘁𝗲𝗿𝗮𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻






Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi anak syarikatnya, UUM Holdings terus memperkukuh peranan sebagai rakan strategik industri apabila memeterai Nota Kerjasama Strategik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Majlis Peluncuran Healthcare Engineering Services Competency Standard – Healthcare Facility Management (HESCS-HFM), hari ini.
Melalui kerjasama tersebut, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM melantik UUM Holdings untuk membangunkan Healthcare Engineering Services Competency Standard, iaitu standard kompetensi yang akan menjadi asas kepada laluan pengiktirafan profesional serta meningkatkan tahap kompetensi jurutera dan penolong jurutera di KKM.
Pelantikan ini mencerminkan keyakinan KKM terhadap kepakaran yang dimiliki UUM, khususnya dalam pembangunan modul latihan dan standard kompetensi yang memenuhi keperluan sektor kesihatan negara.
Kerjasama ini turut membuktikan bahawa kepakaran akademik warga UUM bukan sahaja berkembang dalam dunia pendidikan dan penyelidikan, malah berjaya diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi impak serta nilai tambah kepada industri dan sektor awam.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik yang dapat diterokai oleh UUM Holdings dan UUM pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan lagi peranan universiti sebagai penyumbang kepakaran kepada pembangunan negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga UUM Holdings yang diterajui oleh Pengerusinya, YBhg. Dato’ Muhammad Khizri Abu Kassim, yang turut mewakili anak syarikat UUM dalam sesi pertukaran Nota Kerjasama Strategik bersama Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UUM Holdings, Encik Azman Hisham Che Doi.
4 Ogos 2026 (Selasa)
Dewan Damar Sari, Putrajaya












































